
Prof. Ir. Dr Abdul Halim bin Mohamaed Yatim dilahirkan di Singapura pada tanggal 17 April 1959 iaitu selepas tiga tahun Singapura keluar daripada Malaysia. Beliau mendapatkan pendidikan awal sehingga ke peringkat GCE "O" levels di St Andrew's School, Singapura dan seterusnya melanjutkan pelajarannya ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) cawangan Kuala Lumpur pada tahun 1976. Selepas tamat pengajian dalam bidang diploma kejuruteraan elektrik pada tahun 1979, beliau memulakan perkhidmatannya di Lembaga Letrik Negara (LLN), Batu Pahat yang mana kini LLN dikenali sebagai Tenaga Nasional Berhad (TNB). Selepas lima bulan berkhidmat di LLN, beliau melanjutkan pendidikannya dalam bidang sarjana muda kejuruteraan elektrik dan elektronik di Portsmouth Polytechnic (kini dikenali sebagai Portsmouth University) United Kingdom. Seterusnya beliau telah dianugerahkan ijazah sarjana (1984) dan ijazah doktor falsafah (1989) dalam bidang elektronik kuasa dari Bradford University.
Kerjaya beliau di UTM bermula pada 14 September 1981 sebagai seorang tutor di Fakulti Kejuruteraan Elektrik. Pada tahun 1984, beliau mula berkhidmat sebagai pensyarah sepenuh masa selama lebih kurang sembilan tahun. Tahun 1993 merupakan tahun yang bertuah buat beliau, dimana beliau dianugerahkan Profesor Madya dan seterusnya pada 16 Januari 1999, beliau telah dianugerahkan jawatan Profesor penuh.
Sepanjang perkhidmatan beliau di UTM, beliau telah banyak menimba pengalaman di dalam bidang pentadbiran terutamanya pentadbiran Fakulti Kejuruteraan Elektrik, antaranya ialah Ketua Makmal Elektronik Kuasa (1993 hingga 1994), Ketua panel Elektronik Kuasa (1994), Penyelaras Program Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik (1996 hingga 1998), Ketua Jabatan Penukaran Kuasa (1999 hingga 2002) dan kini sebagai Timbalan Dekan Akademik sejak Ogos 2002.
Pada masa yang sama, Prof. Ir. Dr. Abdul Halim Mohamed Yatim juga aktif dalam badan-badan profesional, dimana beliau menganggotai beberapa badan profesional tempatan dan antarabangsa. Sebagai ahli senior The Institute of Electrical and Electronic Engineers (IEEE), ahli korporat The Institution of Engineers Malaysia (IEM) dan Jurutera Profesional berdaftar di Board of Engineers Malaysia (BEM), beliau telah bergiat aktif sebagai ahli IEEE Malaysia iaitu ahli Majlis Eksekutif (1999 hingga 2001). Sebagai ahli IEM yang aktif, beliau telah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Peperiksaan dan ahli Jawatankuasa Pendidikan Kejuruteraan. Pada waktu ini, beliau memegang jawatan sebagai penasihat kepada IEEE cawangan pelajar UTM dan penasihat fakulti IEM cawangan pelajar.
Prof. Ir. Dr. Abdul Halim juga merupakan penyelidik yang aktif dan merupakan pengerusi kepada tiga projek IRPA serta timbalan pengerusi kepada satu projek IGS. Dalam pada masa yang sama, beliau merupakan ahli kepada kumpulan penyelidik Fuel-Cell UKM-UTM IRPA dan mengetuai bahagian kawalan motor. Beliau juga telah dilantik oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar untuk mengawal selia pelbagai cadangan projek IRPA dan projek IGS. Pada tahun 1993, Prof. Ir. Dr. Abdul Halim menjadi profesor pelawat di Virginia Power Electronics Center, USA, iaitu salah sebuah pusat penyelidikan terbaik di dunia untuk kajian dalam bidang elektronik kuasa.
Sepanjang kerjaya beliau, beliau telah menulis sebanyak 60 kertas kerja teknikal dalam pelbagai jurnal dan seminar. Terdapat beberapa kertas kerja hasil tulisan beliau telah digunakan sebagai rujukan oleh pegawai penyelidik di Japan, Korea, Australia, USA, dan Eropah. Beliau juga telah menilai pelbagai jurnal antarabangsa dan tempatan serta seminar-seminar teknikal. Antaranya ialah IEEE Transaction in Power Electronics, IEEE Power Electronics dan Drives Conference, IEM Journals, Jurnal Elektrika dan Jurnal Teknologi.
Antara penghargaan yang telah diterima oleh Prof. Ir. Dr. Abdul Halim ialah Malaysia Industry/University DSP Design Award oleh Texas Instruments pada tahun 2000, Anugerah Jurnal Tempatan UTM pada tahun 2000, Anugerah Kecermerlangan UTM pada 1998, Anugerah Kumpulan Penyelidik Terbaik UTM pada 1997 dan Anugerah Antrabangsa Penerbitan Jurnal UTM pada tahun 2003.
|